USAHAWAN BANYAK AKAL

Archive for April 2009

Kenapa harus para pelanggan membeli produk anda? Apakah kelebihannya berbanding produk-produk keluaran syarikat lain? Kebelakangan ini ramai usahawan Bumiputera menampilkan faktor-faktor seperti ‘halal dan suci’ serta ‘keluaran Bumiputera’ sebagai kelebihan produk mereka. Walaupun kedua-duanya merupakan faktor-faktor yang baik, ianya tidak memadai. Ini kerana sudah banyak produk-produk yang menawarkan kelebihan-kelebihan yang sama sepertinya.thumbs-up-low-res

Untuk lebih berkesan, anda haruslah memilih satu kelebihan utama produk anda untuk diketengahkan. Tapi kenapa hanya satu? Kenapa tidak dua, tiga atau empat? Jawabnya kerana aspek ‘kemudahan’. Dengan menekankan satu kelebihan utama, aktiviti-aktiviti pemasaran & jualan anda lebih terfokus dan pada masa yang sama, para pelanggan pula lebih mudah ingat akan produk anda.

Berikut adalah tiga tips untuk anda memilih satu kelebihan teras untuk produk anda:

1. Keunikan

Barangkali produk anda tidak unik. Ramai usahawan yang mengusahakannnya. Ini tidak mengapa. Asalkan kelebihan utama yang diketengahkan oleh produk anda bersifat unik. Sebagai contoh, cuba lihat 3 jenis produk kopi pra-campur yang popular: Nescafe 3 dalam 1, Ali Cafe dan Super. Walaupun ketiga-tiganya adalah produk yang hampir sama – iaitu kopi pra-campur dengan khasiat tongkat ali dan sebagainya, kelebihan-kelebihan utama yang diketengahkan adalah berbeza di antara satu sama lain. Nescafe menampilkan faktor rasanya yang hebat, Ali Cafe pula ‘meyakinkan’ anda bahawa ianya pilihan artis-artis popular, manakala Super pula ‘menjanjikan’ faktor tenaga yang diperolehi daripadanya. Sama seperti jenama-jenama ini, anda juga tidak perlu risau jika produk anda banyak persaingan. Yang pentingnya, pastikan kelebihan yang diketengahkan itu bersifat unik dan berlainan dengan produk-produk persaingan anda.

2. Persepsi kelebihan

Apakah benar para artis popular memilih Ali Cafe ? Apakah benar hanya Nescafe 3 dalam 1 yang mempunyai rasa yang lazat? Atau hanya kopi Super yang memberikan tenaga? Kita tidak dapat memastikannya. Yang pasti, kelebihan-kelebihan yang ditonjolkan ini bertujuan untuk membentuk persepsi para pelanggan terhadap produk tersebut. Begitulah juga dengan produk anda. Kelebihan yang anda ketengahkan itu tidak semestinya benar-benar sedemikian. Ianya hanyalah persepsi yang ingin anda ujudkan di minda para pelanggan. Ini tidak bermaksud anda menipu. Sebaliknya, ianya memudahkan para pelanggan untuk mengenali kelebihan produk anda, berbanding dengan produk-produk lain yang sepertinya.

3. Menepati kehendak/citarasa kumpulan sasaran.

Kata orang: rambut sama hitam, hati lain-lain. Sesuatu yang digemari oleh sekumpulan pelanggan, tidak semestinya digemari oleh kumpulan pelanggan yang lain. Oleh itu, faktor yang anda pilih sebagai kelebihan utama produk anda itu, mestilah menepati citarasa atau kehendak kumpulan pelanggan yang anda sasarkan. Lakukan proses kajiselidik pasaran terlebih dahulu untuk mengetahui apakah yang mereka inginkan daripada produk anda. Setelah itu, pilihlah kelebihan yang akan digemari atau menepati citarasa mereka untuk ditonjolkan. Jika tidak, kelebihan yang anda ketengahkan itu mungkin tidak berkesan dalam menyakinkan mereka untuk membeli produk anda.

Proses ini akan membantu usaha-usaha anda untuk menonjolkan produk anda dengan lebih berkesan, dengan tujuan untuk mempertingkatkan tahap penerimaannya di pasaran.

stretch1Sebelum bersukan, kita digalakkan untuk ‘warm-up’ terlebih dahulu. Kalau tak alamatnya kejang sana sini lah jawapnya. Kita juga yang susah nanti. Sama sepertinya, anda juga perlu ‘warm-up’ dahulu sebelum anda menceburi bidang keusahawanan. Namun ianya bukanlah dengan melakukan stretching ataupun lari-lari anak. Aktiviti yang dimaksudkan di sini adalah persiapan dari segi mental.

Hakikatnya, bidang keusahawanan bukan mudah. Mahu tidak mahu, anda terpaksa mengharungi pelbagai cabaran. Terutamanya pada peringkat-peringkat awal perniagaan anda. Oleh itu, berikut adalah 2 tips untuk membantu anda lebih bersedia:

1. Betulkan persepsi anda.

Pastikan persepsi anda mengenai bidang keusahawanan lebih realistik. Sememangnya mudah untuk terpengaruh setelah melihat kejayaan orang lain. “Kalau si Ali dapat melakukannya, kenapa pula tidak anda?” Barangkali itulah yang anda fikirkan. Benar, anda juga boleh mengecapi kejayaan. Cuma, jangan ‘memperlekehkan’ kejayaan orang lain di minda anda. Semata-mata kerana dia berjaya, tak bermaksud bahawa ianya mudah. Hanya Tuhan sahaja yang tahu apakah rintangan-rintangan yang terpaksa dihadapinya sebelum akhirnya beroleh kejayaan. Yang anda nampak hanya dari segi luarannya. Oleh itu, bersedialah untuk menghadapi masa-masa yang mencabar sebelum memulakan perniagaan anda.

2. Sediakan rancangan ganti (‘back-up’)

Walau sehebat mana pun idea-idea anda, ada kemungkinan ianya tidak akan mendapat sambutan. Akibatnya, perniagaan anda juga terjejas. Oleh itu, sediakan rancangan-rancangan atau idea-idea ‘back-up’ dari awal-awal lagi. Kalau idea pertama tak menjadi, cuba idea kedua, dan seterusnya. Lebih baik kalau idea-idea ini anda fikirkan dari awal-awal lagi – iaitu semasa anda merancang untuk memulakan perniagaan anda. Dengan cara ini, taklah anda menghabiskan masa memikirkan apa yang perlu dilakukan seterusnya.

Okey semua….tarik nafas….buka dada…..

 

stressAda masanya, walau sebanyak manapun anda berusaha, perniagaan anda serba tak menjadi. Puas anda mencuba, namun hasilnya tetap sama. Dalam keadaan-keadaan begini, agak mudah untuk berputus asa. Mana taknya? Asyik-asyik pelbagai perasaan negatif bermain-main di minda. Lagi-lagi kalau anda baharu saja memulakan perniagaan anda. Ya lah, kerja makan gaji elok-elok dilepaskan, wang simpanan pun sudah habis dilaburkan sebagai modal….memang perit memikirkan kesemuanya. Kesudahannya, anda mungkin terfikir untuk melepaskan sahaja perniagaan anda.

Sebenarnya, idea anda itu amat baik! (sebelum anda berfikir saya sudah hilang akal, baca seterusnya) Apa yang saya maksudkan di sini bukan untuk meninggalkan perniagaan anda buat selama-lamanya, tetapi buat sementara waktu. Proses ini bukanlah sesuatu yang baharu atau yang belum pernah dicuba. Malah, Leornado Da Vinci, ahli fikir dan seniman yang tersohor (dan dinobatkan sebagai salah seorang individu yang paling genius) pun menggunakan kaedah ini semasa hayatnya.

Apabila anda menumpukan perhatian terhadap sesuatu buat terlalu lama, ianya akan memberikan kesan kepada daya pemikiran dan perspektif anda. Jika ianya berkenaan hal-hal yang negatif, pemikiran dan perspektif anda turut sama menjadi negatif. Lama kelamaan anda akan mula merasakan seolah-olah tiada jalan keluar daripada masalah anda. Dalam keadaan begini, anda tidak akan mampu memikirkan idea-idea yang bernas untuk mengubah situasi anda.

Untuk mengatasi keadaan ini, anda haruslah ‘berubah angin’. Pergilah bercuti untuk beberapa hari. Semasa bercuti, jangan pula duduk termenung saja. Lakukan aktiviti-aktiviti yang boleh mengubah tumpuan anda. Contohnya aktiviti-aktiviti lasak yang memerlukan anda untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadapnya. Seboleh-bolehnya elakkan daripada melakukan apa-apa urusan yang berkaitan dengan perniagaan anda. Apabila anda pulang nanti, masalah-masalah anda akan tetap menunggu anda. Tetapi sekurang-kurangnya, anda akan beroleh semangat dan perspektif yang baharu untuk menanganinya.

mesh-clock1Kita tak pernah cukup masa. Ada saja hal dan urusan yang harus dilakukan. Lebih-lebih lagi kalau anda mengusahakan perniagaan anda seorang diri. Maklumlah, anda barangkali bos, kerani dan budak pejabat pada masa yang sama. Kadang-kadang timbul pula hal-hal yang memerlukan perhatian segera anda, dengan tidak disangka sangka. Ini boleh mengganggu tugas-tugas yang telah anda tetapkan untuk hari itu. Hakikatnya walau ‘secantik’ mana pun anda aturkan jadual tugasan anda, hampir mustahil untuk memastikan semuanya berjalan seperti yang dirancangkan.

Oleh itu, lebih baik sekiranya anda merancangkan jadual tugasan anda berpandukan kepada matlamat tahunan perniagaan anda. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh membantu anda:

  1. Fikirkan apakah pencapaian-pencapaian yang anda perlukan untuk mencapai matlamat-matlamat yang telah anda unjurkan untuk tahun ini? Kalau ianya sudah dibukukan di dalam Rancangan Perniagaan anda, rujuknya semula.
  2. Bahagikan ataupun pecahkan matlamat yang dirancangkan itu kepada tempoh suku-suku tahun. Renungkan, apakah pencapaian-pencapaian yang seharusnya anda perolehi pada setiap suku tahunan, untuk akhirnya mencapai matlamat-matlamat tahunan anda Sekarang, kita sudah pun melangkah ke suku kedua tahun 2009. Sudahkah anda berjaya mencapai matlamat anda untuk suku pertama (Januari – Mac 2009)?
  3. Pecahkan matlamat suku-suku tahunan (perenggan 2) kepada tempoh bulanan dan seterusnya mingguan sehinggakan jadual tugasan yang anda sediakan untuk diri anda itu berdasarkan tempoh masa seminggu. Pada setiap hujung minggu, periksa semula matlamat suku tahun dan bulanan sebelum merancangkan aktiviti minggu hadapan. Berikan keutamaan kepada aktiviti-aktiviti yang akan membawa anda lebih dekat kepada matlamat anda. Pada masa yang sama pastikan jadual anda masih menyediakan masa untuk anda berbuat perkara-perkara yang tidak dirancang. 

Kaedah ini lebih baik kerana ianya memastikan agar aktiviti-aktiviti anda sentiasa berpandukan kepada matlamat asal tahunan anda. Ianya juga memberikan anda kelonggaran untuk menangani perkara-perkara yang timbul dengan tidak disangka atau secara tiba-tiba. Cubalah…

watchingtvKalau nak tonton perlawanan bolasepak, pukul 3 atau 4 pagi pun kita sanggup bersengkang mata. Bukan itu saja. Boleh enjoy lagi semasa menonton. Sehinggakan tak perasan masa berlalu. Sedangkan pada hari-hari biasa, susah nak bangun pagi (bangun pergi bilik air ada lah…). Lagi-lagi kalau pagi tu hujan. Kenapa lah agaknya?

Semuanya kerana minat. Minat terhadap sesuatu, dengan otomatiknya memberikan kita semangat untuk melakukannya. Sebaliknya, kalau kita tak minat, malas rasanya untuk melakukannya. “Lecehlah, boringlah” dan macam-macam lagi alasan akan bermain di kepala kita.

Prinsip yang sama terpakai apabila anda menjadi seorang usahawan. Kalau anda meminati bidang yang anda ceburi, sehari suntuk pun tak pe. Rasa bersemangat sentiasa. Walau apa halangan sekalipun, anda akan berani menghadapinya. Ya lah…dah minat.

Saya pernah bertanya kepada beberapa rakan usahawan kenapa mereka memilih bidang yang mereka ceburi. Ada yang kata sebab minat. Ok lah tu. Tapi ada juga yang kata mereka memilih bidang itu setelah melihat orang lain melakukannya. Sayangnya ini bukan satu alasan yang baik. Orang lain yang mereka lihat berjaya tu, barangkali meminati bidang itu. Dia orang ni pula menceburi bidang itu, walaupun tak minat. Dan saya dapati, selalunya mereka-mereka inilah yang cepat berputus asa bila perniagaan mereka tak berapa menjadi.

Sebaik-baiknya, sebelum memilih bidang perniagaan anda, buatlah sedikit muhasabah diri. Tanyakan diri anda samada bidang itu menimbulkan minat kepada anda. Kalau rasa-rasa tak, jangan pilihnya. Fikir betul-betul sebelum membuat keputusan. Atau lebih baik lagi, cuba imaginasikan bagaimana rutin dan tugas harian anda jika anda mengusahakan bidang tersebut. Kalau rasa-rasa macam best, baharulah mulakan langkah-langkah untuk merealisasikannya. Sebaliknya kalau anda belum menjumpai bidang yang anda minati, teruskan mencari. Jangan bimbang, impian keusahawanan anda tak akan ke mana….


April 2009
M T W T F S S
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930