USAHAWAN BANYAK AKAL

Archive for the ‘Keusahawanan’ Category

Apakah sebenarnya faktor-faktor yang menentukan keberkesanan sesebuah iklan? Ramai yang menyangka sesebuah iklan itu berkesan sekiranya ianya menyentuh perasaan ataupun berunsur lawak jenaka. Ada pula yang berpendapat bahawa persona seseorang artis (yang popular) boleh menjayakan sesebuah iklan. Jadi bagaimanakah dapat anda tentukan samada iklan anda berkesan, atau sebaliknya?faqs_billboard

Selaku seorang usahawan, anda hanya boleh menganggap sesebuah iklan itu berkesan, sekiranya ianya mencapai matlamat asal anda mengeluarkan iklan tersebut. Maksudnya, tujuan kenapa anda ingin mengiklan – samada untuk memperkenalkan produk anda atau melariskannya dan sebagainya. Apa gunanya jika orang ramai tersentuh melihat iklan anda jika produk anda tidak dibeli mereka? Lagipun, bukankah itu tujuan sebenar anda mengiklan untuk mendapatkan pulangan?

Berikut adalah 3 langkah yang boleh membantu dalam memastikan iklan anda berkesan:

1. Kumpulan sasaran

Kenalpasti kumpulan masyarakat yang  ingin anda sasarkan melalui iklan anda terlebih dahulu. Kemudian, dapatkan sebeberapa banyak maklumat yang boleh yang berkenaan dengan kumpulan tersebut. Terutamanya berkenaan motivasi mereka untuk membeli produk anda.

2.Format

Apakah format yang terbaik untuk mencapai kumpulan sasaran yang telah dikenalpasti? Adakah ianya berbentuk media massa seperti TV, radio dan akhbar? Ataupun media setempat seperti papan tanda dan billboard? Kalau tidak pun, format pemasaran terus seperti email, broshur dan sebagainya.

3. Nada penyampaian

Apakah ‘nada’ penyampaian iklan yang sesuai dengan citarasa kumpulan sasaran? Adakah ianya lebih sesuai berbentuk informatif (banyak teks) atau visual (banyak gambar, kurang teks). Ini penting kerana nada yang sesuai akan memastikan agar lebih ramai anggota kumpulan sasaran tersebut akan mengamati iklan tersebut.

Walauapapun, rancang baik-baik dahulu aktiviti pengiklanan anda. Biarlah wang anda belanjakan untuknya,mendatangkan pulangan yang diharapkan.

Bolehkah anda menghadiri satu sesi temuduga dengan memakai baju pagoda, kain pelekat dan selipar jepun? Sudah tentulah tidak! Belum pun sempat anda membuka mulut, anda sudahpun gagal di mata panel temuduga. Tak kiralah walau sehebat manapun kebolehan anda, atau setinggi manapun kelayakkan akademik anda. Kesudahannya tetap sama. Hakikatnya, keterampilan diri memberikan ‘first impression’ kepada orang lain mengenai diri anda. Walaupun ianya tidak melambangkan diri anda dengan sepenuhnya, ianya masih mempengaruhi pandangan orang lain terhadap anda.sarongs.3

Begitulah juga dengan produk anda. Keterampilan produk anda adalah amat penting untuk meyakinkan para pelanggan untuk mencubanya. Anda perlu beringat bahawa bukan anda seorang yang menghasilkan produk sepertinya. Malah kini, terdapat berpuluhan jenis produk dalam mana-mana kategori sekalipun. Dalam pada itu, anda terpaksa bersaing dengan jenama-jenama yang terkenal yang sudahpun serasi dengan para pelanggan. Ya, barangkali produk anda ada banyak kelebihannya. Walaubagaimanapun, para pelanggan tidak akan dapat menikmati ‘kelebihan-kelebihan itu selagi mereka tidak membelinya.

Berikut adalah 2 faktor yang memainkan peranan dalam keterampilan produk anda:

1. Rekabentuk

Kebanyakkan produk dijual dalam bekasnya (‘container’) yang tersendiri. Tak kiralah samada botol kaca atau plastik, ataupun kotak. Dan kadang-kadang kedua-duanya sekali. Cuba bandingkannya dengan produk-produk persaingan anda. Bagaimana keterampilannya? Lebih menarik, sama taraf ataupun kurang menarik? Bolehkah anda mencari alternatif yang lebih menarik?

2. Pembalut (Labelling)

Bagaimana pula labelling yang anda gunakan? Masih ada beberapa usahawan yang menggunakan label yang ditaip (dengan mesin taip) dan difotostat di atas kertas-kertas yang berwarna. Ini tidak memadai jika anda mengharapkan lebih ramai pelanggan untuk mencuba produk anda. Berbelanjalah sedikit untuk mendapatkan khidmat rekabentuk supaya label anda kelihatan lebih menarik. Pulangannya bersifat jangka panjang, insya allah.

Selagi anda tidak menghiraukan keterampilan produk anda, selagi itulah anda menyekat potensi produk anda untuk berjaya di pasaran. Seperti contoh ‘berkain pelikat ke temuduga’ di atas.

Bukannya mudah untuk mengumpulkan modal perniagaan. Tambah-tambah lagi jika ianya perniagaan sulung anda. Benar; memang terdapat pelbagai pinjaman dan geran perniagaan yang boleh anda pohon daripada institusi-institusi kerajaan. Namun, ianya tidak semudah itu. Hampir kesemua pinjaman tersebut mempunyai syarat-syarat kelayakkan tertentu. Contohnya, ada institusi yang menetapkan bahawa anda mestilah sudahpun menjalankan perniagaan anda selama sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum memohon. Manakala yang lain-lain pula, hanya menawarkan jumlah modal yang kecil. Kalau anda berjaya mendapatkannya sekalipun, barangkali jumlah itu tidak mencukupi.

Mahu atau tidak anda terpaksa mencari sumber-sumber modal alternatif. Salah satunya adalah ahli keluarga anda. Sekali pandang, meminjam daripada ahli keluarga memang ada kelebihannya. Pada kebiasaannya, si pemberi pinjam tidak mengenakan faedah ke atas wang yang dipinjamkannya. Kemungkinan, tempoh pembayaran baliknya juga tidak ditetapkan – asalkan dibayar balik.

Walaubagaimanapun, bagaimana jika anda gagal untuk membayar balik pinjaman tersebut? Sudah pasti sillatulrahim di antara anda dan si pemberi pinjam akan terjejas. Sekurang-kurangnya bermasam muka dan tidak menegur sapa bila bertemu. Atau lebih teruk lagi, barangkali bertekak di antara satu sama lain. Keadaan ini juga boleh ‘merebak’ kepada ahli keluarga masing-masing. Bayangkanlah keadaannya apabila anda balik kampung nanti semasa perayaan atau kenduri kendara. Susah jadinya.  Berikut adalah 2 langkah yang perlu anda ambil sekiranya anda ingin meminjam modal daripada ahli keluarga anda:

1. Tidak semua di antara kita berasal daripada keluarga yang berada. Oleh itu, sebelum menerima tawaran bantuan kewangan daripada seseorang ahli keluarga, pastikan dahulu kedudukannya kewangannya. Terutamanya samada si pemberi pinjam mampu untuk ‘melepaskan’ wang itu untuk sesuatu masa yang tertentu? Atau sebaliknya, adakah beliau memerlukan wang tersebut dalam masa-masa yang terdekat? Misalnya, mungkin beliau berhajat untuk membeli sebidang tanah di kampung, untuk didirikan sebuah rumah setelah beliau pencen dalam 4 atau 5 tahun lagi. Ataupun, wang tersebut disimpan untuk dipakai belanja kahwin anak-anaknya yang sedang belajar di universiti ketika ini. Tidak salah jika anda bertanyakan kepadanya untuk tujuan apa wang tersebut disimpannya. Setelah anda mendapat jawapannya, baharulah fikirkan samada anda ingin menerima bantuannya atau tidak. Jangan pula sampai anda ‘merampas’ impiannya.

2. Jika anda bersetuju untuk menerima bantuannya, pastikan juga bahawa sebuah perjanjian bertulis disediakan di antara anda berdua. Antara lain, tetapkan kadar dan tempoh pembayaran balik pinjaman tersebut. Sebaik-baiknya dapatkan bantuan guaman untuk tujuan ini. Sebuah perjanjian bertulis (berbanding dengan perjanjian lisan) akan banyak membantu anda di masa-masa hadapan. Mungkin anda sendiri boleh memikirkannya – janji mulut semuanya ok sahaja. Tapi setelah berapa bulan atau tahun, lain ceritanya. Katanya anda janji dalam tempoh dua tahun, anda pula berkeras tempoh yang dipersetujui adalah tiga tahun – misalnya lah. Isu-isu seperti ini dapat dielakkan dengan adanya syarat-syarat yang bertulis.

man-pulling-hairSetiap yang baik itu tentulah ada kekurangannya. Begitulah juga dengan menerima bantuan kewangan daripada ahli keluarga. Oleh itu, ambillah langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengurangkan masalah di masa-masa hadapan. Nanti, taklah anda ‘mencabut-cabut’ rambut memikirkan perselisihan faham di antara anda dan pemberi pinjam.

Andaikan anda belajar menunggang basikal, sebelum anda belajar berjalan. Barangkali anda lebih cepat sampai ke destinasi anda begitu, berbanding dengan seseorang yang berjalan kaki. Malah anda mungkin juga hairan kenapalah masih ada yang ingin berjalan, sedangkan lebih mudah berbasikal. Tapi bagaimana sekiranya jalan yang anda gunakan ke destinasi anda itu tidak sempurna. Ya lah, lekuk sana lekuk sini sehinggakan sukar untuk berbasikal dengan lancar. Mahu tidak mahu, anda terpaksa turun dan menolak (atau membahu) basikal anda untuk mengelak daripada tersungkur. Tetapi masalahnya, anda tidak tahu berjalan. Oleh itu anda tiada pilihan selain daripada terus berbasikal. Kalau nasib baik, lepaslah. Kalau tidak, tersungkur. Dan bukan itu sahaja, anda akan terus tersungkur kerana anda tidak pernah belajar untuk berjalan.

Kiasan di atas barangkali berbunyi pelik. Namun itulah keadaan yang berlaku sekarang. Ramai yang ingin perniagaan mereka sukses dengan cepat dan mudah. Mereka sentiasa mencari-cari kaedah-kaedah perniagaan yang menjanjikan kejayaan yang berganda-ganda dalam masa yang singkat. Memanglah terdapat pelbagai program latihan atau kaedah-kaedah yang boleh membantu. Namun kaedah-kaedah ini hanyalah berupa pemangkin. Untuk sukses yang berkekalan, seseorang usahawan masih tetap perlu menguasai asas-asas keusahawanan. Ini kerana (seperti kiasan di atas) perjalanan seseorang usahawan tidak pernah lancar. Akan ada berbagai halangan dan cabaran yang perlu ditempuhi dan diselesaikan untuk terus mara.Pada masa-masa sedemikian, hanya pengetahuan mengenai asas-asas keusahawanan sahaja yang dapat membantu.electra1

Kenapa harus para pelanggan membeli produk anda? Apakah kelebihannya berbanding produk-produk keluaran syarikat lain? Kebelakangan ini ramai usahawan Bumiputera menampilkan faktor-faktor seperti ‘halal dan suci’ serta ‘keluaran Bumiputera’ sebagai kelebihan produk mereka. Walaupun kedua-duanya merupakan faktor-faktor yang baik, ianya tidak memadai. Ini kerana sudah banyak produk-produk yang menawarkan kelebihan-kelebihan yang sama sepertinya.thumbs-up-low-res

Untuk lebih berkesan, anda haruslah memilih satu kelebihan utama produk anda untuk diketengahkan. Tapi kenapa hanya satu? Kenapa tidak dua, tiga atau empat? Jawabnya kerana aspek ‘kemudahan’. Dengan menekankan satu kelebihan utama, aktiviti-aktiviti pemasaran & jualan anda lebih terfokus dan pada masa yang sama, para pelanggan pula lebih mudah ingat akan produk anda.

Berikut adalah tiga tips untuk anda memilih satu kelebihan teras untuk produk anda:

1. Keunikan

Barangkali produk anda tidak unik. Ramai usahawan yang mengusahakannnya. Ini tidak mengapa. Asalkan kelebihan utama yang diketengahkan oleh produk anda bersifat unik. Sebagai contoh, cuba lihat 3 jenis produk kopi pra-campur yang popular: Nescafe 3 dalam 1, Ali Cafe dan Super. Walaupun ketiga-tiganya adalah produk yang hampir sama – iaitu kopi pra-campur dengan khasiat tongkat ali dan sebagainya, kelebihan-kelebihan utama yang diketengahkan adalah berbeza di antara satu sama lain. Nescafe menampilkan faktor rasanya yang hebat, Ali Cafe pula ‘meyakinkan’ anda bahawa ianya pilihan artis-artis popular, manakala Super pula ‘menjanjikan’ faktor tenaga yang diperolehi daripadanya. Sama seperti jenama-jenama ini, anda juga tidak perlu risau jika produk anda banyak persaingan. Yang pentingnya, pastikan kelebihan yang diketengahkan itu bersifat unik dan berlainan dengan produk-produk persaingan anda.

2. Persepsi kelebihan

Apakah benar para artis popular memilih Ali Cafe ? Apakah benar hanya Nescafe 3 dalam 1 yang mempunyai rasa yang lazat? Atau hanya kopi Super yang memberikan tenaga? Kita tidak dapat memastikannya. Yang pasti, kelebihan-kelebihan yang ditonjolkan ini bertujuan untuk membentuk persepsi para pelanggan terhadap produk tersebut. Begitulah juga dengan produk anda. Kelebihan yang anda ketengahkan itu tidak semestinya benar-benar sedemikian. Ianya hanyalah persepsi yang ingin anda ujudkan di minda para pelanggan. Ini tidak bermaksud anda menipu. Sebaliknya, ianya memudahkan para pelanggan untuk mengenali kelebihan produk anda, berbanding dengan produk-produk lain yang sepertinya.

3. Menepati kehendak/citarasa kumpulan sasaran.

Kata orang: rambut sama hitam, hati lain-lain. Sesuatu yang digemari oleh sekumpulan pelanggan, tidak semestinya digemari oleh kumpulan pelanggan yang lain. Oleh itu, faktor yang anda pilih sebagai kelebihan utama produk anda itu, mestilah menepati citarasa atau kehendak kumpulan pelanggan yang anda sasarkan. Lakukan proses kajiselidik pasaran terlebih dahulu untuk mengetahui apakah yang mereka inginkan daripada produk anda. Setelah itu, pilihlah kelebihan yang akan digemari atau menepati citarasa mereka untuk ditonjolkan. Jika tidak, kelebihan yang anda ketengahkan itu mungkin tidak berkesan dalam menyakinkan mereka untuk membeli produk anda.

Proses ini akan membantu usaha-usaha anda untuk menonjolkan produk anda dengan lebih berkesan, dengan tujuan untuk mempertingkatkan tahap penerimaannya di pasaran.

stretch1Sebelum bersukan, kita digalakkan untuk ‘warm-up’ terlebih dahulu. Kalau tak alamatnya kejang sana sini lah jawapnya. Kita juga yang susah nanti. Sama sepertinya, anda juga perlu ‘warm-up’ dahulu sebelum anda menceburi bidang keusahawanan. Namun ianya bukanlah dengan melakukan stretching ataupun lari-lari anak. Aktiviti yang dimaksudkan di sini adalah persiapan dari segi mental.

Hakikatnya, bidang keusahawanan bukan mudah. Mahu tidak mahu, anda terpaksa mengharungi pelbagai cabaran. Terutamanya pada peringkat-peringkat awal perniagaan anda. Oleh itu, berikut adalah 2 tips untuk membantu anda lebih bersedia:

1. Betulkan persepsi anda.

Pastikan persepsi anda mengenai bidang keusahawanan lebih realistik. Sememangnya mudah untuk terpengaruh setelah melihat kejayaan orang lain. “Kalau si Ali dapat melakukannya, kenapa pula tidak anda?” Barangkali itulah yang anda fikirkan. Benar, anda juga boleh mengecapi kejayaan. Cuma, jangan ‘memperlekehkan’ kejayaan orang lain di minda anda. Semata-mata kerana dia berjaya, tak bermaksud bahawa ianya mudah. Hanya Tuhan sahaja yang tahu apakah rintangan-rintangan yang terpaksa dihadapinya sebelum akhirnya beroleh kejayaan. Yang anda nampak hanya dari segi luarannya. Oleh itu, bersedialah untuk menghadapi masa-masa yang mencabar sebelum memulakan perniagaan anda.

2. Sediakan rancangan ganti (‘back-up’)

Walau sehebat mana pun idea-idea anda, ada kemungkinan ianya tidak akan mendapat sambutan. Akibatnya, perniagaan anda juga terjejas. Oleh itu, sediakan rancangan-rancangan atau idea-idea ‘back-up’ dari awal-awal lagi. Kalau idea pertama tak menjadi, cuba idea kedua, dan seterusnya. Lebih baik kalau idea-idea ini anda fikirkan dari awal-awal lagi – iaitu semasa anda merancang untuk memulakan perniagaan anda. Dengan cara ini, taklah anda menghabiskan masa memikirkan apa yang perlu dilakukan seterusnya.

Okey semua….tarik nafas….buka dada…..

 

stressAda masanya, walau sebanyak manapun anda berusaha, perniagaan anda serba tak menjadi. Puas anda mencuba, namun hasilnya tetap sama. Dalam keadaan-keadaan begini, agak mudah untuk berputus asa. Mana taknya? Asyik-asyik pelbagai perasaan negatif bermain-main di minda. Lagi-lagi kalau anda baharu saja memulakan perniagaan anda. Ya lah, kerja makan gaji elok-elok dilepaskan, wang simpanan pun sudah habis dilaburkan sebagai modal….memang perit memikirkan kesemuanya. Kesudahannya, anda mungkin terfikir untuk melepaskan sahaja perniagaan anda.

Sebenarnya, idea anda itu amat baik! (sebelum anda berfikir saya sudah hilang akal, baca seterusnya) Apa yang saya maksudkan di sini bukan untuk meninggalkan perniagaan anda buat selama-lamanya, tetapi buat sementara waktu. Proses ini bukanlah sesuatu yang baharu atau yang belum pernah dicuba. Malah, Leornado Da Vinci, ahli fikir dan seniman yang tersohor (dan dinobatkan sebagai salah seorang individu yang paling genius) pun menggunakan kaedah ini semasa hayatnya.

Apabila anda menumpukan perhatian terhadap sesuatu buat terlalu lama, ianya akan memberikan kesan kepada daya pemikiran dan perspektif anda. Jika ianya berkenaan hal-hal yang negatif, pemikiran dan perspektif anda turut sama menjadi negatif. Lama kelamaan anda akan mula merasakan seolah-olah tiada jalan keluar daripada masalah anda. Dalam keadaan begini, anda tidak akan mampu memikirkan idea-idea yang bernas untuk mengubah situasi anda.

Untuk mengatasi keadaan ini, anda haruslah ‘berubah angin’. Pergilah bercuti untuk beberapa hari. Semasa bercuti, jangan pula duduk termenung saja. Lakukan aktiviti-aktiviti yang boleh mengubah tumpuan anda. Contohnya aktiviti-aktiviti lasak yang memerlukan anda untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadapnya. Seboleh-bolehnya elakkan daripada melakukan apa-apa urusan yang berkaitan dengan perniagaan anda. Apabila anda pulang nanti, masalah-masalah anda akan tetap menunggu anda. Tetapi sekurang-kurangnya, anda akan beroleh semangat dan perspektif yang baharu untuk menanganinya.

mesh-clock1Kita tak pernah cukup masa. Ada saja hal dan urusan yang harus dilakukan. Lebih-lebih lagi kalau anda mengusahakan perniagaan anda seorang diri. Maklumlah, anda barangkali bos, kerani dan budak pejabat pada masa yang sama. Kadang-kadang timbul pula hal-hal yang memerlukan perhatian segera anda, dengan tidak disangka sangka. Ini boleh mengganggu tugas-tugas yang telah anda tetapkan untuk hari itu. Hakikatnya walau ‘secantik’ mana pun anda aturkan jadual tugasan anda, hampir mustahil untuk memastikan semuanya berjalan seperti yang dirancangkan.

Oleh itu, lebih baik sekiranya anda merancangkan jadual tugasan anda berpandukan kepada matlamat tahunan perniagaan anda. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh membantu anda:

  1. Fikirkan apakah pencapaian-pencapaian yang anda perlukan untuk mencapai matlamat-matlamat yang telah anda unjurkan untuk tahun ini? Kalau ianya sudah dibukukan di dalam Rancangan Perniagaan anda, rujuknya semula.
  2. Bahagikan ataupun pecahkan matlamat yang dirancangkan itu kepada tempoh suku-suku tahun. Renungkan, apakah pencapaian-pencapaian yang seharusnya anda perolehi pada setiap suku tahunan, untuk akhirnya mencapai matlamat-matlamat tahunan anda Sekarang, kita sudah pun melangkah ke suku kedua tahun 2009. Sudahkah anda berjaya mencapai matlamat anda untuk suku pertama (Januari – Mac 2009)?
  3. Pecahkan matlamat suku-suku tahunan (perenggan 2) kepada tempoh bulanan dan seterusnya mingguan sehinggakan jadual tugasan yang anda sediakan untuk diri anda itu berdasarkan tempoh masa seminggu. Pada setiap hujung minggu, periksa semula matlamat suku tahun dan bulanan sebelum merancangkan aktiviti minggu hadapan. Berikan keutamaan kepada aktiviti-aktiviti yang akan membawa anda lebih dekat kepada matlamat anda. Pada masa yang sama pastikan jadual anda masih menyediakan masa untuk anda berbuat perkara-perkara yang tidak dirancang. 

Kaedah ini lebih baik kerana ianya memastikan agar aktiviti-aktiviti anda sentiasa berpandukan kepada matlamat asal tahunan anda. Ianya juga memberikan anda kelonggaran untuk menangani perkara-perkara yang timbul dengan tidak disangka atau secara tiba-tiba. Cubalah…

watchingtvKalau nak tonton perlawanan bolasepak, pukul 3 atau 4 pagi pun kita sanggup bersengkang mata. Bukan itu saja. Boleh enjoy lagi semasa menonton. Sehinggakan tak perasan masa berlalu. Sedangkan pada hari-hari biasa, susah nak bangun pagi (bangun pergi bilik air ada lah…). Lagi-lagi kalau pagi tu hujan. Kenapa lah agaknya?

Semuanya kerana minat. Minat terhadap sesuatu, dengan otomatiknya memberikan kita semangat untuk melakukannya. Sebaliknya, kalau kita tak minat, malas rasanya untuk melakukannya. “Lecehlah, boringlah” dan macam-macam lagi alasan akan bermain di kepala kita.

Prinsip yang sama terpakai apabila anda menjadi seorang usahawan. Kalau anda meminati bidang yang anda ceburi, sehari suntuk pun tak pe. Rasa bersemangat sentiasa. Walau apa halangan sekalipun, anda akan berani menghadapinya. Ya lah…dah minat.

Saya pernah bertanya kepada beberapa rakan usahawan kenapa mereka memilih bidang yang mereka ceburi. Ada yang kata sebab minat. Ok lah tu. Tapi ada juga yang kata mereka memilih bidang itu setelah melihat orang lain melakukannya. Sayangnya ini bukan satu alasan yang baik. Orang lain yang mereka lihat berjaya tu, barangkali meminati bidang itu. Dia orang ni pula menceburi bidang itu, walaupun tak minat. Dan saya dapati, selalunya mereka-mereka inilah yang cepat berputus asa bila perniagaan mereka tak berapa menjadi.

Sebaik-baiknya, sebelum memilih bidang perniagaan anda, buatlah sedikit muhasabah diri. Tanyakan diri anda samada bidang itu menimbulkan minat kepada anda. Kalau rasa-rasa tak, jangan pilihnya. Fikir betul-betul sebelum membuat keputusan. Atau lebih baik lagi, cuba imaginasikan bagaimana rutin dan tugas harian anda jika anda mengusahakan bidang tersebut. Kalau rasa-rasa macam best, baharulah mulakan langkah-langkah untuk merealisasikannya. Sebaliknya kalau anda belum menjumpai bidang yang anda minati, teruskan mencari. Jangan bimbang, impian keusahawanan anda tak akan ke mana….

Pagi tadi, semasa menjamu sarapan di restoran Pelita, saya bertembung dengan seorang kawan lama – Samad. Seingat saya, kali terakhir saya berjumpanya lebih kurang tiga tahun yang lalu, semasa Samad baharu memulakan syarikat hiasan dalamannya. Namun apabila saya bertanyakan khabar perniagaannya, raut wajahnya terus berubah. Rupanya Samad dan rakan kongsinya sudah tidak menegur sapa buat beberapa bulan kerana berselisih faham. Akibatnya, operasi perniagaan mereka terjejas teruk. Sehinggakan urusan-urusan pejabat yang rutin seperti membayar gaji pekerja juga turut terganggu. Kesemuanya disebabkan Samad dan rakan kongsinya (yang masing-masing berkongsi 50% hakmilik) tidak pernah menggariskan prosedur bertulis mengenai tugas dan tanggungjawab masing-masing. Menurut Samad, sekarang ini dia hanya menunggu masa sebelum perniagaannya itu ‘ditalqinkan’.

fighting20men20small2

Berkongsi perniagaan dengan seseorang individu (ataupun lebih) memang ada kelebihannya berbanding dengan mengusahakannya seorang diri. Sekurang-kurangnya, beban dan tanggungjawab boleh dipikul bersama. Walaubagaimanapun, setiap individu akan mempunyai hati budi yang berbeza. Kebarangkalian berlakunya perselisihan faham tetap ada. Jika anda tidak mengujudkan satu garis panduan betulis berkenaan perhubungan sesama rakan kongsi dari awal-awal lagi, tentunya sebarang perselisihan faham akan membawa padah.

Berikut adalah tiga tips untuk mengurangkan impak perselisihan faham di antara rakan-rakan kongsi ke atas urusan perniagaan anda:

  1. Seboleh-bolehnya pastikan salah seorang daripada rakan kongsi mempunyai hakmilik majoriti walaupun sedikit. Misalnya dalam keadaan di mana terdapat dua rakan kongsi: seorang memegang 51% dan seorang lagi 49%. Setidak-tidaknya, berikan salah seorang daripada rakan kongsi kuasa kata putus dalam hal-hal tertentu;
  2. Gariskan secara terperinci tugas dan tanggungjawab setiap seorang rakan kongsi dalam perniagaan tersebut:
  3. Gariskan prosedur apabila salah seorang atau lebih daripada rakan kongsi anda berhajat untuk melepaskan hakmiliknya.

Walaupun perselisihan faham masih boleh berlaku, kaedah-kaedah ini sekurang-kurangnya akan memastikan bahawa urusan perniagaan anda tidak terjejas teruk akibatnya.


June 2024
M T W T F S S
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930