USAHAWAN BANYAK AKAL

Archive for the ‘Motivasi keusahawanan’ Category

stretch1Sebelum bersukan, kita digalakkan untuk ‘warm-up’ terlebih dahulu. Kalau tak alamatnya kejang sana sini lah jawapnya. Kita juga yang susah nanti. Sama sepertinya, anda juga perlu ‘warm-up’ dahulu sebelum anda menceburi bidang keusahawanan. Namun ianya bukanlah dengan melakukan stretching ataupun lari-lari anak. Aktiviti yang dimaksudkan di sini adalah persiapan dari segi mental.

Hakikatnya, bidang keusahawanan bukan mudah. Mahu tidak mahu, anda terpaksa mengharungi pelbagai cabaran. Terutamanya pada peringkat-peringkat awal perniagaan anda. Oleh itu, berikut adalah 2 tips untuk membantu anda lebih bersedia:

1. Betulkan persepsi anda.

Pastikan persepsi anda mengenai bidang keusahawanan lebih realistik. Sememangnya mudah untuk terpengaruh setelah melihat kejayaan orang lain. “Kalau si Ali dapat melakukannya, kenapa pula tidak anda?” Barangkali itulah yang anda fikirkan. Benar, anda juga boleh mengecapi kejayaan. Cuma, jangan ‘memperlekehkan’ kejayaan orang lain di minda anda. Semata-mata kerana dia berjaya, tak bermaksud bahawa ianya mudah. Hanya Tuhan sahaja yang tahu apakah rintangan-rintangan yang terpaksa dihadapinya sebelum akhirnya beroleh kejayaan. Yang anda nampak hanya dari segi luarannya. Oleh itu, bersedialah untuk menghadapi masa-masa yang mencabar sebelum memulakan perniagaan anda.

2. Sediakan rancangan ganti (‘back-up’)

Walau sehebat mana pun idea-idea anda, ada kemungkinan ianya tidak akan mendapat sambutan. Akibatnya, perniagaan anda juga terjejas. Oleh itu, sediakan rancangan-rancangan atau idea-idea ‘back-up’ dari awal-awal lagi. Kalau idea pertama tak menjadi, cuba idea kedua, dan seterusnya. Lebih baik kalau idea-idea ini anda fikirkan dari awal-awal lagi – iaitu semasa anda merancang untuk memulakan perniagaan anda. Dengan cara ini, taklah anda menghabiskan masa memikirkan apa yang perlu dilakukan seterusnya.

Okey semua….tarik nafas….buka dada…..

 

stressAda masanya, walau sebanyak manapun anda berusaha, perniagaan anda serba tak menjadi. Puas anda mencuba, namun hasilnya tetap sama. Dalam keadaan-keadaan begini, agak mudah untuk berputus asa. Mana taknya? Asyik-asyik pelbagai perasaan negatif bermain-main di minda. Lagi-lagi kalau anda baharu saja memulakan perniagaan anda. Ya lah, kerja makan gaji elok-elok dilepaskan, wang simpanan pun sudah habis dilaburkan sebagai modal….memang perit memikirkan kesemuanya. Kesudahannya, anda mungkin terfikir untuk melepaskan sahaja perniagaan anda.

Sebenarnya, idea anda itu amat baik! (sebelum anda berfikir saya sudah hilang akal, baca seterusnya) Apa yang saya maksudkan di sini bukan untuk meninggalkan perniagaan anda buat selama-lamanya, tetapi buat sementara waktu. Proses ini bukanlah sesuatu yang baharu atau yang belum pernah dicuba. Malah, Leornado Da Vinci, ahli fikir dan seniman yang tersohor (dan dinobatkan sebagai salah seorang individu yang paling genius) pun menggunakan kaedah ini semasa hayatnya.

Apabila anda menumpukan perhatian terhadap sesuatu buat terlalu lama, ianya akan memberikan kesan kepada daya pemikiran dan perspektif anda. Jika ianya berkenaan hal-hal yang negatif, pemikiran dan perspektif anda turut sama menjadi negatif. Lama kelamaan anda akan mula merasakan seolah-olah tiada jalan keluar daripada masalah anda. Dalam keadaan begini, anda tidak akan mampu memikirkan idea-idea yang bernas untuk mengubah situasi anda.

Untuk mengatasi keadaan ini, anda haruslah ‘berubah angin’. Pergilah bercuti untuk beberapa hari. Semasa bercuti, jangan pula duduk termenung saja. Lakukan aktiviti-aktiviti yang boleh mengubah tumpuan anda. Contohnya aktiviti-aktiviti lasak yang memerlukan anda untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadapnya. Seboleh-bolehnya elakkan daripada melakukan apa-apa urusan yang berkaitan dengan perniagaan anda. Apabila anda pulang nanti, masalah-masalah anda akan tetap menunggu anda. Tetapi sekurang-kurangnya, anda akan beroleh semangat dan perspektif yang baharu untuk menanganinya.


July 2024
M T W T F S S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
293031